Pernahkah kamu memancing ikan? Kalau tak pernah memancing
pernahkah kamu melihat orang memancing? Kalau tak pernah pun, bolehkah
kamu bayangkan
seseorang sedang memancing?
Baiklah,
katakanlah kamu menemani seseorang yang sedang asyik memancing.
Tiba-tiba mata kailnya disentap oleh seekor ikan dan dia segera memutar
pemutar tali pancing. Sekali-sekala dia menghenjut-henjut jorannya supaya mata kail semakin menyangkut mulut ikan.
Akhirnya,
ikan itu dapat dinaikkan ke darat. Kamu lihat pemancing itu tersenyum
lebar. Gembira benar hatinya. Kamu juga turut tersenyum kerana itu
bermakna satu kemenangan.
Kamu turut ghairah melihat pemancing itu cuba membebaskan ikan daripada mata kailnya.
Tiba-tiba,
setelah dia melepaskan mata kail daripada mulut ikan, dia mencampakkan
kembali ikan itu ke air. Eh, apa hal? Kamu memandang pemancing itu
dengan seribu tanda tanya, tapi dia bersahaja seolah-olah tindakannya
itu tidak menimbulkan sebarang persoalan.
Kamu rasa apakah
yang akan dideritai oleh ikan itu? Bolehkan ia menyambung hidup dengan
mulutnya yang terluka atau mungkin juga isi perutnya yang telah robek?
Sudah
tentu ia akan mengalami kesakitan sebelum akhirnya mati. Dengan mulut
yang koyak dan perut yang robek, dia tentu tidak dapat mencari makanan,
untuk berenang pun mungkin dia tidak mampu. Dia mungkin disisihkan oleh
kawan-kawan kerana sudah tidak boleh aktif lagi.
Begitulah
juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah
dia mula menyayangi kamu hendaklah kamu menjaga hatinya. Jangan sesekali
terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh
kenangan bersama kamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi
dia mengingati kamu.
Sebab itu apabila kamu merelakan
hati kamu untuk bercinta, seriuslah dalam tindakan dan keputusan kamu
itu, sebab jika kamu hanya main-main, akan ada pihak yang menangis.
Tentu
kamu dapat bayangkan betapa sakit dan menderitanya ikan menjalani
hidupnya setelah dilemparkan kembali ke air. Begitulah, alangkah
sakitnya hidup bersama hati yang robek kerana mengingati seseorang.
Cinta
adalah fitrah manusia. ALLAH menjadikan cinta untuk memberi
keseronokkan kepada hamba-hamba-Nya menjalani hidup mereka, tapi tahukah
kamu lebih ramai orang yang menderita kerana cinta daripada yang
berbahagia kerana cinta.
Kenapa jadi begitu?
Jika
kamu sedang bercinta atau pun akan bercinta suatu hari nanti,
peliharalah hatinya dan rencahilah cinta kamu dengan kejujuran, kesucian
dan keikhlasan serta dasarkan cinta kamu kerana ALLAH. Hanya cinta yang
begini akan kekal, selainnya pasti menempuh jalan berliku dan akhirnya
menumpahkan air mata kesedihan.
Maka itu, jika kamu belum
bersedia untuk berlaku jujur janganlah bercinta dulu. Jika kamu belum
bersedia untuk setia janganlah cuba-cuba memberikan hati kepada orang
lain. Sebab perbuatan yang sebegini akan hanya menghabiskan masa,
membazirkan air mata dan perbuatan kamu itu akan memulakan satu
derita...
Ingatlah, kita adalah apa yang kita usahakan....
Jangan sesekali memberikan harapan kepada orang lain, yang mana kita
sendiri pun tidak pasti akan kesudahannya... Jika hari ini kita
melukakan seseorang, suatu hari nanti kita pula akan dilukai seperti
mana kita pernah melukakan dahulu.... Sesungguhnya setiap perbuatan itu
akan ada balasannya :)