LOve
Wednesday, October 24
cinta
Pernahkah kamu memancing ikan? Kalau tak pernah memancing pernahkah kamu melihat orang memancing? Kalau tak pernah pun, bolehkah kamu bayangkan
seseorang sedang memancing?
Baiklah, katakanlah kamu menemani seseorang yang sedang asyik memancing. Tiba-tiba mata kailnya disentap oleh seekor ikan dan dia segera memutar
pemutar tali pancing. Sekali-sekala dia menghenjut-henjut jorannya supaya mata kail semakin menyangkut mulut ikan.
Akhirnya, ikan itu dapat dinaikkan ke darat. Kamu lihat pemancing itu tersenyum lebar. Gembira benar hatinya. Kamu juga turut tersenyum kerana itu bermakna satu kemenangan.
Kamu turut ghairah melihat pemancing itu cuba membebaskan ikan daripada mata kailnya.
Tiba-tiba, setelah dia melepaskan mata kail daripada mulut ikan, dia mencampakkan kembali ikan itu ke air. Eh, apa hal? Kamu memandang pemancing itu dengan seribu tanda tanya, tapi dia bersahaja seolah-olah tindakannya itu tidak menimbulkan sebarang persoalan.
Kamu rasa apakah yang akan dideritai oleh ikan itu? Bolehkan ia menyambung hidup dengan mulutnya yang terluka atau mungkin juga isi perutnya yang telah robek?
Sudah tentu ia akan mengalami kesakitan sebelum akhirnya mati. Dengan mulut yang koyak dan perut yang robek, dia tentu tidak dapat mencari makanan, untuk berenang pun mungkin dia tidak mampu. Dia mungkin disisihkan oleh kawan-kawan kerana sudah tidak boleh aktif lagi.
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah dia mula menyayangi kamu hendaklah kamu menjaga hatinya. Jangan sesekali terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersama kamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingati kamu.
Sebab itu apabila kamu merelakan hati kamu untuk bercinta, seriuslah dalam tindakan dan keputusan kamu itu, sebab jika kamu hanya main-main, akan ada pihak yang menangis.
Tentu kamu dapat bayangkan betapa sakit dan menderitanya ikan menjalani hidupnya setelah dilemparkan kembali ke air. Begitulah, alangkah sakitnya hidup bersama hati yang robek kerana mengingati seseorang.
Cinta adalah fitrah manusia. ALLAH menjadikan cinta untuk memberi keseronokkan kepada hamba-hamba-Nya menjalani hidup mereka, tapi tahukah kamu lebih ramai orang yang menderita kerana cinta daripada yang berbahagia kerana cinta.
Kenapa jadi begitu?
Jika kamu sedang bercinta atau pun akan bercinta suatu hari nanti, peliharalah hatinya dan rencahilah cinta kamu dengan kejujuran, kesucian dan keikhlasan serta dasarkan cinta kamu kerana ALLAH. Hanya cinta yang begini akan kekal, selainnya pasti menempuh jalan berliku dan akhirnya menumpahkan air mata kesedihan.
Maka itu, jika kamu belum bersedia untuk berlaku jujur janganlah bercinta dulu. Jika kamu belum bersedia untuk setia janganlah cuba-cuba memberikan hati kepada orang lain. Sebab perbuatan yang sebegini akan hanya menghabiskan masa, membazirkan air mata dan perbuatan kamu itu akan memulakan satu derita...
Ingatlah, kita adalah apa yang kita usahakan.... Jangan sesekali memberikan harapan kepada orang lain, yang mana kita sendiri pun tidak pasti akan kesudahannya... Jika hari ini kita melukakan seseorang, suatu hari nanti kita pula akan dilukai seperti mana kita pernah melukakan dahulu.... Sesungguhnya setiap perbuatan itu akan ada balasannya :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment